Thursday, May 8, 2008

Penubuhan Suruhanjaya Kehakiman dan Suruhanjaya Anti Rasuah – Satu Langkah Berani

Penubuhan Suruhanjaya Kehakiman dan Suruhanjaya Anti Rasuah merupakan antara dua langkah pembaharuan paling berani yang diambil oleh Kerajaan untuk mengembalikan integriti dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan terutama dalam memperkatakan tentang badan kehakiman yang tercalar dengan pendedahan beberapa isu sehingga menghakis keyakinan rakyat. Suruhanjaya tersebut bertujuan untuk mengenal pasti dan mencadangkan calon-calon hakim kepada Perdana Menteri seterusnya menjadi badan yang memantau dan menyeimbangkan kuasa institusi kehakiman negara yang mempunyai kebebasan tersendiri.

Mengenai isu rasuah, pengstrukturan semula Badan Pengecah Rasuah (BPR) kepada Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia juga bertujuan untuk mengekalkan keyakinan rakyat dan merealisasikan harapan baru rakyat untuk melihat ketelusan dan akauntabiliti benar-benar menjadi budaya masyarakat setelah 41 tahun penubuhan BPR diselubungi dengan pelbagai isu baik di dalam Negara mahupun di pihak antarabangsa yang mempertikaikan integriti negara ini.

Soalan: Penubuhan kedua-dua Suruhanjaya ini mendapat sokongan semua pihak tetapi sejauhmanakah ia mampu bebas dari sebarang campurtangan politik?


[Selanjutnya]

Projek Ternakan Babi di Selangor

Kerajaan Selangor yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat melalui Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan negeri akan tetap meneruskan projek ladang ternakan babi secara sistematik dan bersepadu bernilai RM100 juta yang dikatakan bermula sejak pentadbiran Barisan nasional lagi. Walaupun projek ini masih di peringkat kajian pelaksanaannya, pendirian Kerajaan Selangor ini telah menerima tentangan daripada pelbagai pihak kerana ia menjejaskan alam sekitar dan kehidupan penduduk.

Soalan: Wajarkan projek ini diteruskan dengan membelakangkan sensitiviti masyarakat setempat khususnya orang-orang Melayu serta impaknya kepada alam sekitar?

[Selanjutnya]

Wanita perlu dapat kebenaran sebelum ke luar negeri



Cadangan pihak Kementerian Luar Negeri supaya wanita-wanita yang ingin ke luar negara perlu mengemukakan surat daripada kedua ibu bapa, suami atau majikan bagi menerangkan tujuan ke luar negeri, menimbulkan reaksi pelbagai. Cadangan yang dibentangkan ke kabinet itu bertujuan untuk menangani isu wanita tempatan yang digunakan oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Pelbagai pihak termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta beberapa pertubuhan hak asasi menyifatkan langkah tersebut sebagai melanggar hak-hak wanita. Kebelakangan ini isu mengenai penglibatan wanita tempatan yang diperdaya oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa mendapat liputan meluas di media. Sehingga kini dikatakan sebanyak 119 kes melibatkan wanita Malaysia di mana 90 peratus terjebak dalam sindiket pengedaran dadah antarabangsa. Rata-rata mereka berusia antara 21 sehingga 27 tahun.

Soalan: Apakah mekanisme yang paling wajar untuk mengatasi masalah ini terutama oleh pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan untuk memastikan masalah ini dapat dibendung?

[Selanjutnya]

Sistem Pendaftaran Pengundi Secara Automatik




Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Liew Chin Tong telah mengusulkan di Dewan Rakyat meminta kerajaan memperkenalkan pendaftaran pengundi secara automatik. Dalam jawapan bertulis Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menganggap, pendaftaran secara automatik boleh menyebabkan timbul banyak kesulitan kepada pemilih sebaliknya menganggap sistem pendaftaran pemilih yang digunakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berdasarkan alamat bermastautin seperti pada kad pengenalan adalah pratikal kerana ia membolehkan pemilih mengundi di pusat berdekatan kediaman masing-masing.


Soalan: Apakah sistem pendaftaran pengundi secara automatik sememangnya berkesan untuk memastikan perjalanan pilihan raya negara ini bebas, bersih dan adil?

[Selanjutnya]

Tuntutan Bertindih Pulau Batu Putih Bakal Diputuskan Mei ini


Tuntutan bertindih dan pertikaian hak kedaulatan Pulau Batu Putih sedikit sebanyak memberi kesan kepada hubungan dua hala Malaysia – Singapura yang berlanjutan hampir 28 tahun, bakal diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) Mei ini di The Hague, Belanda. Malaysia dan Singapura secara bersama memulakan proses perundangan bagi menyelesaikan tuntutan Singapura ke atas kedaulatan pulau tersebut melalui penyampaian secara rasmi kepada ICJ pada 24 Julai 2003.


Singapura mendakwa Pulau Batu Putih adalah milik mereka selepas pemetaan wilayah dibuat oleh Malaysia pada 1979. Sebelum sebarang keputusan diputuskan oleh ICJ, hujah kedua-dua belah pihak akan bermula pada 23 Mei ini dan Malaysia dan Singapura pada dasarnya mematuhi dan akan menerima apa juga keputusan yang bakal dibuat oleh ICJ selepas ini.


Soalan: Sebarang kemungkinan yang akan diputuskan oleh ICJ, apakah ia akan memberi impak kepada hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura selepas ini?

[Selanjutnya]

Tuntutan Gaji Minimum: MTUC Berdemonstrasi Di Parlimen?


Tindakan kerajaan menolak cadangan tuntutan gaji minimum sebanyak RM900 oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyebabkan MTUC berkeras untuk meneruskan hasrat mengadakan perhimpunan di hadapan bangunan Parlimen pada 7 Mei lalu. Selain tuntutan gaji minuman yang ditolak kerajaan, MTUC juga akan membangkitkan isu pindaan undang-undang seperti Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Akta Kesatuan Sekerja 1959.


Perdana Menteri datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam satu kenyataan mengulas bahawa sebarang keputusan untuk memenuhi tuntutan pekerja perlu mengambil kira kemampuan kerajaan dan peningkatan produktiviti negara dan meminta MTUC menimbangkan pelbagai perkara sebelum meneruskan perhimpunan.

Soalan: Wajarkah MTUC memperjuangkan tuntutan gaji minimum tanpa mengambil kira kemampuan kerajaan dan produktiviti negara?

[Selanjutnya]

Krisis Makanan Dunia dan Kenaikan Harga Beras



Krisis makanan yang berlaku di beberapa negara dunia turut memberi kesan kepada peningkatan mendadak harga beras dunia terutama apabila negara-negara pengeluar bahan makanan utama tersebut menghentikan eksport mereka untuk menampung keperluan tempatan yang mendesak. Fenomena global ini turut memberi tempias kepada pengguna Malaysia yang terpaksa berdepan dengan kenaikan harga sedangkan pada hakikatnya bekalan beras di negara ini tidak terjejas.

Situasi tersebut berlaku apabila pengilang beras mengambil kesempatan daripada kekurangan bekalan di peringkat dunia untuk mencari keuntungan dengan mengawal harga. Kenaikan harga ini dikatakan berpunca daripada sikap pengilang yang enggan memproses padi yang dibekalkan oleh petani menyebabkan banyak bekalan padi tidak dapat diproses untuk kegunaan tempatan sehingga memberi kesan kepada kenaikan mendadak barang makanan tersebut. Ini lah masalah sebenar yang terpaksa ditanggung oleh petani yang kerugian kerana pengilang enggan menerima padi untuk diproses dan pengguna pula terpaksa berbelanja lebih untuk mendapatkan bekalan beras.

Soalan:Isu kenaikan harga beras tempatan sebenarnya disebabkan oleh sikap pengilang yang mengambil kesempatan dan ingin mengaut keuntungan lebih sehingga membebankan pihak-pihak lain. Apa komen anda?

[Selanjutnya]