Friday, June 20, 2008

Kenaikan Harga Minyak dan Penjelasan Petronas



Isu kenaikan harga minyak dan langkah kerajaan menstruktur semula harga minyak sedikit sebanyak mengheret Petronas dalam isu tersebut. Bagi menjelaskan kekeliruan dan prasangka rakyat terhadap isu tersebut, RTM melalui rancangan Bersemuka Bersama Media pada 17 Jun 2008 lalu, mengambil inisiatif menampilkan Presiden & Ketua Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Marican untuk menjelaskan tentang isu tersebut dan peranan Petronas dalam pembangunan negara serta senario semasa yang dihadapi oleh Petronas dalam isu kenaikan harga minyak.

Bersama Tan Sri Hassan Marican adalah dua wakil dari media masing-masing dari Bernama iaitu Mikhail Raj Abdullah dan Ahmad Azam Mohd Aris dari akhbar The Edge sementara Datuk Johan Jaafar bertindak sebagai moderator.

Banyak yang disentuh menerusi perbincangan tersebut antaranya termasuklah tentang keuntungan Petronas, bentuk pelaburan dan perancangan-perancangan masa depan bagi memastikan Petronas terus berdaya saing. Turut disentuh ialah usaha menggalakkan penggunaan NGV sebagai alternatif kepada kenaikan harga minyak mentah dunia kerana dijangkakan menjelang 2011 atau 2014, Malaysia akan menjadi pengimport bersih minyak bukan lagi pengeksport seperti mana sekarang.




PERANTARA: Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera. Sejak kenaikan harga petrol dan diesel diumumkan oleh Kerajaan tidak lama dulu, perbualan rakyat tertumpu kepada kesannya terhadap kehidupan mereka. Ini merupakan kenaikan tertinggi dalam sejarah, 40 % dari harga yang dipasarkan pada masa itu, dan untuk kali pertama harga minyak petrol melebihi RM2 seliter. Menjadikan harganya RM2.70 sen seliter di pasaran. Diesel kini mencecah harga RM2.58 sen seliter. Di tengah segala perdebatan mengenai kenaikan ini sudah tentulah satu nama akan sentiasa menjadi rujukan iaitu PETRONAS, syarikat minyak negara.

Apakah sebenarnya kedudukan PETRONAS dalam soal ini dan apakah yang kita harapkan dari PETRONAS. Soalan yang selalu ditanyakan oleh rakyat ialah kenapa harga petrol dan diesel perlu naik? Kenapa naik begitu banyak? Bukankah kita negara pengeluar minyak, dalam keadaan harga minyak mentah begitu tinggi, mengapakah kita tidak menggunakan keuntungan itu untuk mengekalkan harga sedia ada? Hujahnya ialah apabila harga minyak tinggi, PETRONAS mendapat durian runtuh, atau keuntungan luar biasa. Terlalu banyak yang ingin ditanyakan tentang PETRONAS oleh rakyat terbanyak, saya percaya dan untuk menjawab sebahagian daripada soalan-soalan ini, dan menjelaskan pelbagai isu yang dikaitkan dengannya, RTM telah mengundang ke studio, Pengerusi dan Ketua Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Hassan Marican. Selamat datang, Tan Sri.

TAN SRI HASSAN MARICAN: Terima kasih.

PERANTARA: Ini merupakan julung-julung kalinya Tan Sri muncul dalam talk show seperti ini. Dan sebelum saya memperkenalkan dua orang wartawan yang akan bersama-sama menanyakan soalan kepada Tan Sri, saya ingin memaklumkan bahawa kita telah menyediakan kemudahan untuk penonton mengikuti program ini. Anda boleh menggunakan SMS. SMS perlu dihantar ke 32776, seperti yang saudara lihat dipaparkan di televisyen saudara. Apa yang ditulis di situ, dan saudara boleh menghantar maklumat itu, dan selain daripada itu saudara juga boleh menggunakan laman web iaitu www.blograkyat.net untuk mengemukakan sebarang pertanyaan.

Saya ingin memperkenalkan dua orang wartawan yang dihormati di negara ini iaitu yang di sebelah hujung sana ialah Saudara Ahmad Azam Mohd Aris, yang merupakan Editor Eksekutif The Edge, dan Saudara Mikhail Raj Abdullah, yang merupakan Editor Kanan Ekonomi BERNAMA. Selamat datang ke studio saudara berdua.

Saya nak mulakan perbincangan kita malam ini. Tan Sri, kalau kita perhatikan harga minyak mentah atau crude oil sudah mencecah USD136 atau USD137 pada hari ini, ya. Dan keadaan ini nampaknya memeranjatkan, apakah Tan Sri merasakan bahawa hal ini akan berterusan dalam keadaan sedemikian?

TAN SRI HASSAN MARICAN: Terima kasih, Datuk. Pada pendapat saya, harga minyak ni mula meningkat lebih pada setahun dulu dan telah mencecah USD100, setong awal tahun ini. Dan telah pun mencecah USD140, bulan sudah. Jadi kenaikan harga minyak dunia ini menyebabkan permintaan yang banyak, dan yang melebihi daripada supply minyak mentah yang dapat dikeluarkan sekarang.

BERNAMA: Tapi Tan Sri, ada pihak berkata harga minyak mentah melambung tinggi kerana kegiatan spekulatif. Adakah ini benar atau tidak?

TAN SRI HASSAN MARICAN: Saya rasa memang ada, memang ada kegiatan spekulatif dalam kenaikan harga minyak ini. Ada setengah-setengah pendapat yang mengatakan ada lebih kurang antara USD15 dan USD20 di dalam harga sekarang disebabkan oleh spekulatif training, tetapi ada juga elemen geopolitik di dalam komponen harga yang tinggi sekarang ini. Dan yang disebutkan di antara USD5 dan USD10 di dalam harga sekarang ini disebabkan oleh geopolitik yang tidak stabil di dalam dunia.

THE EDGE: Tan Sri, berapa lama agaknya keadaan pasaran dengan harga yang tinggi ini dan bilakah agaknya pasaran ini menjadi normal balik, pada pendapat Tan Sri?

TAN SRI HASSAN MARICAN: Bilakah ia akan jadi normal balik, itu saya rasa yang ditanya-tanyakan oleh semua, ya? Dan juga apakah yang kita katakan normal. Normal balik ke USD40, balik ke USD100. Itu pada pendapat saya memang kena di permintaan di dalam dunia, kita dapat permintaan yang tinggi dari macam pengguna di negara China, di India dan juga di Timur Tengah. Banyak tidak mengatakan kenaikan permintaan di negara-negara Timur Tengah yang sedang menggunakan hasil dari kenaikan harga minyak untuk pembangunan di dalam negeri masing-masing.

PERANTARA: OK, Tan Sri saya nak melanjutkan perbincangan. Kalau kita perhatikan negara China dan India, kita ambil contoh negara China. Dari segi keperluan ataupun permintaan untuk minyak di negara itu, kalau dapat Tan Sri berikan sedikit gambaran bagaimana misalnya, keperluan minyak dunia ini meningkat dengan banyak oleh kerana pertumbuhan yang luar biasa dari segi ekonomi di kedua-dua negara ini, kita ambil contoh negara China, Tan Sri.

TAN SRI HASSAN MARICAN: Contohnya negara China, dia telah mengalami pertumbuhan ekonomi yang pesat dalam satu dekad yang sudah. Di dalam keadaan pertumbuhan ekonomi itu, permintaan petrol dan diesel meningkat kerana sektor pengangkutan. Jadi bila kita lihat di negeri China itu misalnya, dalam tahun 2006, kereta atau kenderaan baru berjumlah lebih kurang 7 juta, yang baru, bukan incremental tetapi yang baru, ya. Jadi kalau kita guna 10 liter satu hari, untuk satu kenderaan, sudah 70 juta liter satu hari meningkat. Kalau setahun, ya...dia lebih kurang satu loji penapisan yang mengeluarkan 300 ribu barrel tong minyak.

PERANTARA: Itu lebih kurang separuh daripada pengeluaran kita.

TAN SRI HASSAN MARICAN: Ya, itu lebih kurang separuh daripada pengeluaran kita, untuk negara China sahaja. Untuk kereta baru. Tiap tahun ia meningkat sebanyak 7 juta, maknanya tiap-tiap tahun loji minyak yang berkapasiti 300 ribu tong sehari dikehendaki untuk memenuhi permintaan.

BERNAMA: Tadi Tan Sri ada menyebut pasal geopolitik, adakah ini berhasil kerana minyak naik terlampau tinggi kerana pergelutan di antara dunia Arab dan Barat kerana OPEC, pertubuhan negara pengeksport minyak tidak berbuat apa pun, mereka belum lagi bermesyuarat adakah ini pergelutan antara mereka berdua.

TAN SRI HASSAN MARICAN: Saya rasa tidak begitu, OPEC telah beberapa kali bermesyuarat untuk mengkaji dan menimbang keperluan minyak dunia. Masalah geopolitik di antara, misalnya kedudukan Iran, Iran mengeluarkan 2.5 juta tong minyak sehari. Jadi kalau ada orang kata threat, atau peperangan di Iran, seperti 10 hari sudah. Ada disebut akan diserang. Hari itu minyak naik USD10. Dan juga keganasan di Nigeria. Kita perlu ambil tahu, dan macam negara Nigeria yang juga mengeluarkan lebih kurang 2 juta tong minyak sehari. Minyaknya berkualiti tinggi. Light crude. Keperluan minyak light crude ini memang banyak, jadi kalau kekacauan di Nigeria, harga minyak akan naik.

PERANTARA: Baik kita pergi kepada isu yang membabitkan negara kita. Pengumuman tentang kenaikan harga minyak ini tentunya mendapat banyak reaksi daripada rakyat. Dan soalan pertama yang mereka tanyakan ialah kita pengeluar minyak. Kita mengeluarkan minyak kenapa kita tidak menampung misalnya hasil daripada pengeluaran minyak kita yang katakan 600 ribu ataupun 700 ribu tong sehari tu untuk memberikan subsidi yang lebih banyak kepada rakyat dan kalau ini argumentnya ialah kenapa perlu kita menaikkan harga minyak itu?

Tan Sri Hassan MaricaN: Memang kita negara pengeluar minyak, tetapi pengeluaran kita di dalam konteks dunia, kecil 700 ribu tong sehari berbandingkan macam Saudi, negara Saudi, 10 juta tong sehari dan di Negara kita ini harga minyak memang rendah kerana subsidi Kerajaan yang meningkat tahun demi tahun untuk mengekalkan harga minyak di stesen-stesen minyak pada taraf yang rendah daripada harga pasaran. Tetapi saya rasa keadaan ini tidak boleh diteruskan kerana subsidi yang dibayar oleh Kerajaan ini mengikis bajet untuk pembangunan Negara. Jikalau kita lihatkan dalam bajet 2007 subsidi adalah lebih kurang 30% daripada bajet pembangunan Negara.

PERANTARA: 30% daripada bajet tahunan Negara.

Tan Sri Hassan Marican: 30% daripada bajet pembangunan Negara. Bukan dari bajet pembangunan. Tapi kalau dibandingkan.

BERNAMA: Ada lagi satu argument mengatakan Tan Sri, harga minyak naik, keuntungan PETRONAS pun akan naik. Jadi tidak bolehkah PETRONAS menggunakan sebahagian daripada keuntungannya untuk menolong Kerajaan memberikan subsidi yang lebih, contohnya.
Tan Sri Hassan Marican: Subsidi minyak yang diberikan Kerajaan diberikan kepada semua syarikat yang mengendalikan retail station ini termasuk syarikat-syarikat lain daripada PETRONAS seperti SHELL, ESSO dan sebagainya. PETRONAS Dagangan anak syarikat PETRONAS yang disenaraikan di Bursa Malaysia, pun dibayar subsidi oleh Kerajaan. Jadi memang betul bila harga minyak meningkat, PETRONAS mendapat keuntungan yang lebih tetapi keuntungan itu di cukai, di bayar cukai 38%. Di cukai petroleum 38% bukan 26 atau 27 seperti research yang lain dan PETRONAS pun telah meningkatkan pembayarannya kepada Kerajaan pembayaran cukai, royalti dan juga dividen. Kalau nak dikatakan % peningkatan daripada 2003 sampai tahun 2007, ialah 180%.

PERANTARA : 180%?

Tan Sri Hassan Marican: 180% dibandingkan dengan kenaikan minyak dalam jangka masa yang sama, 143%.

THE EDGE: Tan Sri, boleh Tan Sri terangkan sejak PETRONAS bermula sejak tahun 1974 sampai sekarang, berapa banyak royalti dan sebagainya telah diberikan kepada Kerajaan kembali.

Tan Sri Hassan Marican: PETRONAS bermula dengan modal RM10 juta dalam tahun 1974 dan dibayar oleh Kerajaan Persekutuan. Dari tahun 1974 ke akhir tahun 2007, PETRONAS telah meraih keuntungan sebanyak RM570 bilion. Dan pembayaran kepada Kerajaan ialah RM336 bilion di dalam jangka masa yang sama.

BERNAMA: Tan Sri, saya tidak begitu yakinlah dengan penjelasan tadi mengenai subsidi, kerana negara-negara lain pun memberi subsidi, Venezuela beri subsidi, Saudi, Brunei. Jadi kenapakah Malaysia mahu mengurangkan subsidi sekarang?

Tan Sri HaSsan Marican: Kita perlu bandingkan, kalau kita ambil negara Saudi. Seperti saya katakan tadi, pengeluarannya 10 juta tong sehari. Kalau dikatakan harga minyak USD100 sehari, pendapatannya USD1 bilion sehari. Rakyatnya lebih kurang 24 juta. Jadi di negara Saudi ia bergantung kepada ekonomi minyak dan tidak ada ekonomi yang lain di Saudi. Bukan sahaja minyak murah, air, api dan tidak ada cukai pendapatan dan sebagainya, maknanya banyak perbelanjaan rakyat Saudi di tanggung oleh kerajaan dan dia berkemampuan untuk menanggung perbelanjaan itu kerana hasilnya tinggi. Dan juga di Venezuela. Venezuela dia mempunyai polisi yang populis. Sebelum polisi ini, pengeluaran Venezuela lebih kurang 4 juta tong sehari. Sekarang, kerana setiap untung yang diperoleh oleh syarikat minyak nasional Venezuela diambil oleh kerajaan. Tidak ada pelaburan baru dan pengeluaran mereka telah menurun kepada 2.5 juta sehari dan makin merosot.

THE EDGE : Apa bezanya dengan kita Tan Sri?

Tan Sri Hassan Marican: Bezanya dengan kita, seperti yang saya katakan tadi, kita telah meraih keuntungan RM570 bilion. Kita telah bayar kepada Kerajaan RM336 bilion. Bakinya, PETRONAS telah menggunakan wang itu untuk pelabur di dalam negara seperti paip saluran gas PGU, loji-loji penapisan, loji-loji petrokimia dan sebagainya. Dan ini proses value added yang telah dilakukan, telah memberikan keuntungan yang lebih kepada PETRONAS dan justeru itu kepada Kerajaan.

THE EDGE : Kalau kita tak labur?

Tan Sri Hassan Marican: Kalau kita tak labur, Kerajaan tidak akan menerima pembayaran sebanyak RM336 bilion. Dalam jangkaan saya mungkin pembayaran kepada kerajaan akan cuma lebih kurang RM161 bilion.

BERNAMA: Tan Sri, masih ada setengah orang mengatakan PETRONAS boleh mengeluarkan dividen yang lebih kepada kerajaan memandangkan keuntungan PETRONAS sekarang bertambah tinggi. Masihkah boleh PETRONAS memberikan dividen yang lebih kepada Kerajaan, Tan Sri?

Tan Sri Hassan Marican: Dividen yang telah dibayar kepada Kerajaan di dalam 3 tahun yang sudah memang meningkat. Pada tahun 2007 kalau kita nak kirakan percentage ialah 20,000% telah dibayar kepada Kerajaan. Dalam RM20 bilion dan tahun ini akan meningkat lagi. Tetapi kita perlu ingat yang PETRONAS perlu menyimpan sebahagian kecil daripada keuntungannya untuk melabur, membangunkan medan-medan minyak yang baru, mengeksplorasi medan-medan minyak. Kalau tidak, kita tidak akan mendapat hasil di masa hadapan. Dan saya rasa, kita pun patut ingat PETRONAS telah diamanahkan oleh Kerajaan. Dan untuk amanah itu, kita perlu fikir kepada generasi yang akan datang. Kita, rasa sayalah, itu pun mereka ada hak untuk menikmati hasil bumi Malaysia ini selama-lamanya, selama-lama yang boleh.

PERANTARA: Selama mana yang boleh itu, berapa lama? Kalau mengambil kira pengeluaran kita sekarang.

TAN SRI HASSAN MARICAN: Insya Allah, kalau hasil eksplorasi kita berjaya, kita akan dapat maintain production kita sebanyak 700 ribu tong. Production ini production negara ya, bukan production PETRONAS. Production negara ini selama lebih kurang 20 atau 22 tahun lagi.

BERNAMA: Tan Sri, ini pasal hasil bumi ini semua. Malaysia pengeluar minyak mentah tapi kita pun mengimport minyak mentah dari negara lain. Buat apa kita buang duit macam ni? Ia dana yang rugi. Jadi, kenapakah semua minyak mentah yang ada di Malaysia tidak ditapis? Mengapa kita perlu beli daripada Saudi ke, Oman ke, Iran ke? Itu yang saya tidak faham.

TAN SRI HASSAN MARICAN: Memang betul, minyak daripada Malaysia ini bertaraf tinggi dan mendapat harga yang tinggi. Tetapi loji-loji minyak di Malaysia, tidak semuanya dibina untuk menapis minyak pengeluaran negara kita. Ini juga sebagai satu, security. Di Melaka, PETRONAS mempunyai loji penapisan berkapasiti 200 ribu tong sehari. 100 ribu tong untuk minyak kita, dan 100 ribu tong untuk minyak yang diimport, yang harga lebih murah. Kita buat begitu untuk security. Manalah tahu kalau loji itu tidak dapat berjalan dan kita tidak ada minyak langsung. Dan juga, minyak dari Malaysia, tapis namanya kan, tidak dapat mengeluarkan %an yang tinggi untuk petrol. Dalam teknikalnya, 15% daripada satu tong boleh ditapis untuk petrol. Kita lebih tinggi mengeluarkan diesel daripada tapis. Jadi kita memang import. PETRONAS dan juga loji SHELL mengimport 240 ribu tong sehari untuk loji kami di Melaka dan loji SHELL di Port Dickson.

BERNAMA: Dan ini kebanyakan digunakan untuk petrol dan diesel?

TAN SRI HASSAN MARICAN: Ini minyak yang diimport dan ditapis mengeluarkan lebih petrol dan juga diesel. Kita sekarang, negara kita mengimport lebih kurang 80 ribu tong petrol sehari. Sebab penggunaan petrol, kenderaan semua ini, memang meningkat. Dan kita terpaksa import, kapasiti loji di Malaysia tidak mencukupi untuk mengeluarkan petrol. Tetapi diesel kita eksport. Ada lebih kurang 40 ribu tong sehari, diesel dieksport.

THE EDGE: Tan Sri, ini berbalik kepada keuntungan PETRONAS tadi. Ramai dalam kalangan rakyat, tidak begitu berpuas hati dengan apa yang mereka katakan ketelusan perakaunan PETRONAS. Di sebaliknya PETRONAS mengatakan ia merupakan satu organisasi yang telus. Apa komen Tan Sri dengan hal ini?

TAN SRI HASSAN MARICAN: PETRONAS adalah sebuah syarikat yang beroperasi di bawah Akta Syarikat 1965 dan semua syarikat yang beroperasi di bawah ini, mesti mengeluarkan laporan tahunan seperti dikehendaki di bawah akta itu. PETRONAS daripada mulanya memang mengeluarkan tiap-tiap tahun laporan tahunan dan kumpulan PETRONAS. Dan bermula pada tahun 1990 kita memang publish kita punya laporan tahunan sebabnya PETRONAS ada rating standard and poor, kita pun meminjam duit dekat market dunia. Jadi saya rasa, kehendak Akta Syarikat, kita telah comply.

THE EDGE: Tapi, bolehkah PETRONAS lebih telus dari ini lagi, Tan Sri?

TAN SRI HASSAN MARICAN: Telus bagaimana lagi?

THE EDGE: Sepertinya, ada mereka mengatakan PETRONAS harus membentangkan contohnya, laporan tahunannya di Parlimen. PETRONAS sepatutnya accountable pada Parlimen dan bukan sahaja Perdana Menteri.

TAN SRI HASSAN MARICAN: PETRONAS ditubuhkan di bawah Akta Pembangunan Petroleum tahun 1974. Dan di dalam akta tersebut, PETRONAS bertanggungjawab kepada Perdana Menteri. Jadi, di masa sekarang ini, kita memang bertanggungjawab kepada Perdana Menteri.

THE EDGE: Dan itu tidak mungkin berubah?

TAN SRI HASSAN MARICAN: Itu bukan untuk saya yang menetapkan. Akta Pembangunan Petroleum diluluskan oleh Parlimen.

PERANTARA: Baik, Tan Sri. Saya hendak menyambung perbincangan kita tadi. Kita menyebutkan tentang kenaikan harga minyak, dan kemudian syarikat minyak mendapat keuntungan luar biasa. Tapi, apakah benar dengan kenaikan minyak seperti keadaan sekarang ini, mungkin sekarang USD136 atau USD137 setong menyebabkan banyak syarikat-syarikat minyak mendapat
keuntungan atau peningkatan luar biasa. Tapi apakah benar atau tidak mitos ini?

TAN SRI HASSAN MARICAN: Memang peningkatan harga minyak, saya selalu memberi contoh syarikat EXXON Mobil. Dalam tahun 2006, keuntungan EXXON Mobil berjumlah USD39 bilion. Di tahun 2007, keuntungannya USD40 bilion. Cuma meningkat USD1 bilion sahaja. Ini kita bercakap tentang sebuah syarikat minyak yang terbesar di dunia, yang diuruskan dengan baik. Cuma dapat meningkat USD1 bilion sahaja. Kenapa? Dan bukan EXXON Mobil sahaja ya. Kalau kita lihat, ada lagi syarikat-syarikat lain. Kerana apa? Kerana peningkatan kos, kos mencari, mencari gali, membangun dan mengeluarkan minyak, menapis minyak dan sebagainya. Kos sudah meningkat, kos meningkat lebih daripada peningkatan harga minyak yang terdapat sekarang dan ini telah mengikis keuntungan syarikat-syarikat minyak.

PERANTARA: Bagaimana tentang PETRONAS, iaitu pengalaman PETRONAS pula bagaimana, Tan Sri?

TAN SRI HASSAN MARICAN: Begitu juga dengan PETRONAS. Kos cari gali, saya telah beberapa kali menyatakan kalau dulunya, satu telaga eksplorasi menelan belanja lebih kurang USD3 juta di dalam laut cetek sekarang menelan belanja USD7 juta. Dan kos menyewa bot seismic, kos delegrate ini semua meningkat. Ini kerana kekurangan delegrate dan seismic vessel.

PERANTARA: Apa bezanya, misalnya kita minyak di Malaysia dari segi kita mengeluarkan minyak di Malaysia dengan di Saudi misalnya, tak boleh ke, misalnya kata di Angkasapuri kita tebuk atau kita sedut minyak di bawah bangunan Angkasapuri? Misalnya, di Saudi tu, ia berada di bawah pasir sahaja, Tan Sri?

TAN SRI HASSAN MARICAN: Walaupun di bawah pasir, memang di Saudi, reserved minyaknya 250 bilion tong berbanding dengan kita yang ada 5 bilion tong dan reserved kita terdapat di dalam laut bukan di darat. Dan kita telah mula membangun dan menjalankan minyak daripada laut dalam yang kosnya begitu tinggi.

PERANTARA : Jadi buat perbandingan Tan Sri, macam mana maksudnya tinggi itu?

TAN SRI HASSAN MARICAN: Maksudnya kalau di atas darat, kos yang saya kata tadi yang menggali, mencari gali yang tadi USD7 juta, mungkin di Saudi kosnya lebih kurang USD4 ataupun USD5 juta dan selalunya kalau, apa nama, reserved minyak di daratan telaganya tidak sedalam telaga di lautan.

THE EDGE: Adakah disebabkan peningkatan kos ini, PETRONAS punya capital expenditure pun tinggi?

TAN SRI HASSAN MARICAN: Ya, capital expenditure PETRONAS meningkat. Sebab kos cari gali dan kos membangunkan telah meningkat. Saya beri contoh kos anggaran untuk membangunkan medan minyak Kikir. Ianya medan laut dalam. Pada mulanya dalam tahun 2003, anggaran kos lebih kurang RM3 bilion, ya, tetapi kos akhir, bila pengeluaran bermula pada bulan Ogos tahun sudah, kos terakhir lebih kurang RM5.3 bilion.

BERNAMA: Tan Sri, nampaknya PETRONAS mengadulah, apabila harga minyak melambung tinggi, kos meningkat. Tapi pada masa dulu, harga minyak rendah, subsidi pun kecil. Masa itu macam mana? Tetap subsidi?

TAN SRI HASSAN MARICAN: Subsidi, seperti yang saya katakan tadi, subsidi bukannya kos dibayar oleh PETRONAS, subsidi yang dibayar diguna oleh Kerajaan mengguna pembayaran diterima dari PETRONAS dan lain-lain syarikat dan income tax yang diterima oleh Kerajaan. Ianya dari bajet Kerajaan.

BERNAMA: Adakah elemen duti di mana-mana. Apabila harga menurun, rendah. Adakah elemen duti, terus bayar?

TAN SRI HASSAN MARICAN: Mekanisme harga di pam, di stesen, ya. Ditetapkan melalui automatic pricing mechanism yang telah dimulakan dalam tahun 1983. Komponennya ialah harga minyak, kos dan subsidi atau duti, sebagai balancing. Selepas itu kita dapatkan harga di pam. Misalnya dalam tahun 1993, harga di kurang RM1.13, dalam komponen itu, duti ialah lebih kurang 50 sen, bila diturunkan oleh Kerajaan dalam tahun 1994, kepada harga RM1.10. Dalam harga itu komponen duti 52sen. Sebabnya harga minyak dalam tahun 1994 rendah, turun dibandingkan 1993. Bermula tahun 2004, duti telah beralih menjadi subsidi. Sebab kos telah meningkat, untuk Kerajaan menetapkan harga di pam itu, (dalam tahun 2004, lebih kurang RM1 lebih, ya) duti menjadi subsidi.

PERANTARA : Duti menjadi subsidi…

TAN SRI HASSAN MARICAN: Subsidi mula meningkat dari tahun 2004, sampailah sekarang ini, di mana 4hb sudah ini, subsidinya 30 sen. Itu petrol, diesel, subsidinya, duti beralih menjadi subsidi dalam tahun 2000.

BERNAMA: Tan Sri, adakah pengeluaran negara, segala dimiliki oleh PETRONAS ke ataupun syarikat lain. Boleh bagi satu pecahan pengeluaran minyak, tong sehari itu?

TAN SRI HASSAN MARICAN: Tidak, bila PETRONAS ditubuhkan, sistem minyak, mencari gali minyak dan sebagainya beralih daripada sistem kontingensi kepada production sharing contract. Di mana terdapat syarikat-syarikat lain, seperti SHELL dan EXXON dan lain-lain beroperasi, iaitu berkongsi dengan PETRONAS. Jadi kalau kita kata, dalam 700 ribu tong sehari itu, PETRONAS cuma ada 56%. Yang lain dimiliki oleh production sharing contractor. Termasuk PETRONAS Cari Gali. Jadi kalau kita campur PETRONAS dan PETRONAS Cari Gali, ia menjadi lebih kurang 75%.

PERANTARA : Baik saudara penonton yang saya hormati sekalian. Bagi saudara yang baru mengikuti rancangan ini, kita sedang bersemuka untuk membincangkan isu yang membabitkan soal PETRONAS dalam kaitannya yang menaikkan harga minyak baru-baru ini. Dan saudara penonton boleh mengemukakan SMS, dan kami telah menerima banyak SMS. Gunakan Media jarakkan nama_lokasi dan komen atau soalan saudara, dan hantar SMS kepada 32776. Saya ulang sekali lagi, apa yang patut anda lakukan, gunakan handphone saudara, taip Media jarakkan nama_lokasi dan komen atau soalan saudara dan kemukakan kepada 32776. Saudara juga boleh menggunakan kemudahan ataupun menggunakan Internet dan hantarkan pandangan saudara kepada www.blograkyat.net.

Saudara penonton yang saya hormati sekalian, saya bersama dua orang wartawan, bersama-sama saya pada hari ini, Saudara Ahmad Azam Mohamad Aris, Pengarang Eksekutif The EDGE dan Saudara Mikail Raj Abdullah, Editor Kanan Ekonomi, BERNAMA sedang bersemuka dengan Tan Sri Hassan Marican, Presiden dan Ketua Eksekutif PETRONAS, untuk membincangkan banyak isu yang berkaitan dengan harga minyak yang baru diumumkan baru-baru ini.

Tan Sri, dalam konteks ini, saya nak lanjutkan perbincangan tentang kedudukan PETRONAS. Ini banyak orang kata bahawa PETRONAS ni jadi poketlah, tak ada masalah keluar sekian banyak wang kepada Kerajaan. Dan juga bahawa PETRONAS juga sepatutnya dapat menyelesaikan semua masalah yang berkait dengan kenaikan harga ini. Jadi kita tak perlu risau. Tetapi dalam keadaan hari ini ada orang menanyakan juga bahawa kalau keadaan begini berterusan. Sebanyak manakah, sebab dalam keadaan sekarang ini PETRONAS menampung kalau tak silap 35% pendapatan Negara dan kalau misalan satu hari kita tak ada minyak dah, apa akan jadi kepada Kerajaan ataupun kepada negara kita? Kalau dapat Tan Sri komen secara menyeluruh agar kita dapat menyambung perbincangan kita ini.

TAN SRI HASSAN MARICAN: Sebanyak lebih kurang 65%, daripada keuntungan PETRONAS. Kalau kita ambil keuntungan PETRONAS lepas tu kita campur balik royalti dan dividen. Lebih kurang 65% daripada keuntungan itu dibayar kepada Kerajaan. Dengan bayaran ini ia dapat menampung bajet tahunan Kerajaan. Sekarang ini 35% daripada bajet Kerajaan dibayar oleh PETRONAS. Jadi sekiranyalah kita meningkatkan lagi pembayaran kepada Kerajaan, bermakna PETRONAS tidak dapat melabur dan membangunkan medan-medan minyak atau medan-medan gas untuk masa hadapan kita. Ataupun menggunakan wang ini, bila kita tengok dalam 34 tahun, cuma RM178 bilion sahaja yang telah digunakan untuk membangunkan medan-medan minyak dan meningkatkan lagi rizab negara. Jadi kalau PETRONAS tidak diberi kemudahan atau fleksibiliti untuk melabur untuk masa depan, saya rasa generasi yang akan datang akan tidak akan dapat menikmati.

PERANTARA: PETRONAS selesa dengan jumlah yang sebegitu untuk tujuan pelaburan dan sebagainya atau perlu ditingkatkan dalam keadaan sekarang atau macam mana?

TAN SRI HASSAN MARICAN: Kita selesa dan ada masanya kita telah membayar lebih daripada 65% pada Kerajaan. Kalau ada kekurangan itu kita meminjam. Oleh kerana itu kita terpaksa mendapatkan rating dari standard bold dan sebagainya untuk meminjam di pasaran antarabangsa capital market.
BERNAMA: Tapi Tan Sri, saya keliru ada pihak kata Malaysia akan kehabisan minyak pada tahun 2011. Ada kata kita hendak menjadi nett importer, jadi apakah kebenarannya dan apakah reserve negara sekarang.

TAN SRI HASSAN MARICAN: Definisi nett exporter, nett importer ini, sekarang ini kita nett exporter sebab pengeluaran kita melebihi permintaan termasuk yang diimport tadi. Definisi nett importer pula bila di suatu masa hadapan kita telah kata tahun 2011 atau 2014 bergantung kepada growth permintaan, kita akan menjadi nett importer bermakna pengeluaran di dalam negara tidak dapat menampung permintaan dalam negara. Ia tidak bermakna yang kita akan berhenti atau tidak dapat mengeluarkan lagi minyak, seperti kita kata tadi kita akan cuba memanjangkan hayat reserve yang kita ada dalam jangka dalam jangka 20 hingga 22 tahun di hadapan.

THE EDGE: Tan Sri dalam pengiraan nett exporter, net importer ini di manakah kedudukan reserve PETRONAS di luar negeri. Bagaimana PETRONAS mengambil kira kedudukan itu?

TAN SRI HASSAN MARICAN: Reserve dan pengeluaran di luar negeri tidak diambil kira. Ini kita katakan negara Malaysia telah menjadi nett importer, PETRONAS sekarang telah melabur dan meneroka di negara-negara lain, jumlah reserve kita telah meningkat, dan 30% daripada reserve PETRONAS terletak di luar negara seperti di Sudan, di Indonesia dan sebagainya.

BERNAMA: Tan Sri, jadi kita perlu risau kita akan kehabisan minyak tapi bagaimana sekarang dengan reserve gas dan penyediaan PETRONAS untuk meningkatkan penggunaan di Malaysia, sebab kalau kita bicara tentang gas tidak cukup di Lembah Klang atau Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Boleh jelaskan.

TAN SRI HASSAN MARICAN: Kita tidak perlu risau, minyak akan habis seperti juga bijih dulu ia akan habis. Kadang-kadang kita perlu faham negara kita telah mula mengeluarkan minyak pada awal 1900. Jadi kita telah 100 tahun mengeluarkan minyak, dan ia akan habis. Kita dapat memanjangkan hayatnya hingga sekarang sebab kita kata kita cuma akan mengeluarkan tujuh ratus barrel sehari. Begitu juga dengan gas, gas pun akan habis. Gas yang digunakan, gas NGV itu di subsidi oleh PETRONAS. Harga di pam NGV 68 sen seliter, subsidinya lebih kurang RM2 seliter. Sepatutnya harganya RM2 lebih sebab banyak yang kata PETRONAS monopoli NGV. Kita tidak monopoli, penjualan NGV memang terbuka kepada semua syarikat SHELL, ESSO tetapi kerana subsidi yang tinggi dan kos penyelenggaraan yang tinggi tidak ada syarikat-syarikat yang lain yang berminat untuk menjual NGV.
THE EDGE: Tan Sri, dalam segi subsidi gas ini adakah subsidi itu dibayar oleh Kerajaan kepada syarikat minyak itu atau bagaimana?

TAN SRI HASSAN MARICAN: Subsidi gas NGV di stesen dibayar oleh PETRONAS.

BERNAMA: Tan Sri, penggunaan tidak meluas, kurang pergantungan kepada petrol dan diesel.

TAN SRI HASSAN MARICAN: Memang penggunaannya tidak meluas, kita telah berkata pada penghujung tahun 2010 kita akan dapat menyediakan lebih kurang 200 stesen. Sekarang kita mempunyai lebih kurang 90 stesen. Ini akan meningkat kepada 200 dalam tahun 2010. Tetapi untuk membina stesen-stesen NGV ini memerlukan lokasi yang berdekatan dengan saluran paip gas yang dikendalikan oleh Gas Malaysia. Kita pun susah juga untuk mendapatkan tanah, untuk mendapatkan komisen dan sebagainya dan juga terpaksa menyeru dealer-dealer kita consider NGV sebab dalam stesen minyak PETRONAS yang biasa misalnya tiap-tiap bulan harga electricity lebih kurang RM5,000 sebulan. Stesen yang menjual NGV penggunaan electricity lebih kurang RM16,000 sebulan. Jadi PETRONAS subsidi 30%.

PERANTARA: Lebih kurang tiga kali ganda.

TAN SRI HASSAN MARICAN: Peningkatan tadi dibayar oleh PETRONAS.

PERANTARA: Sampai bila PETRONAS hendak beri subsidi gas ini. Ini ada kaitan dengan enviroment isu dan sebagainya.

TAN SRI HASSAN MARICAN: Bila kita mula menjual NGV dalam tahun 1993, objektifnya adalah untuk alam sekitar, pollution dan sebagainya bermula di Lembah Klang. Berapa lama kita hendak subsidi itu saya tidak dapat cakap, tapi kalau mengikut penetapan Kerajaan harga satu liter NGV sepatutnya 50% daripada harga petrol, tetapi Petronas tidak menaikkan harga NGV dalam tahun 2006 bila petrol naik RM1.92 sen dan bulan ini bila petrol naik RM2.70 kita tidak menaikkan.

PERANTARA: Faktor ini bukan faktor ekonomi tetapi berkaitan dengan enviroment dan sebagainya. Saya telah banyak menerima SMS dari penonton sekalian dan banyak dari SMS ini bertanyakan apa yang dibuat oleh kerajaan dengan duit sebanyak RM330 bilion yang diberikan oleh PETRONAS, isu yang membabitkan soal subsidi kenapa tidak lebih banyak subsidi dan sebagainya.

Untuk makluman saudara penonton perbincangan kita malam ini ditumpukan hanya kepada PETRONAS dan apa yang boleh dilakukan oleh PETRONAS dalam konteks ini dan hal yang membabitkan tentang soal dasar, kenaikan harga minyak dan di luar bidang kuasa Petronas maka kita tidak akan membincangkan isu itu.

Namun demikian kita melayan pandangan-pandangan ini dan kita merasakan semua bahawa SMS saudara itu kita akan kemukakan kepada Tan Sri malah kita akan sampaikan kepada pihak berwajib dalam kerajaan untuk mereka mendapat maklumat. Saya percaya salah satu tujuan kita untuk mengadakan pertemuan malam ini untuk Bersemuka Bersama Media adalah bertujuan untuk mendapatkan feedback secara langsung.

Sebahagian besar dari SMS ini sebenarnya tidak dapat kita bincangkan secara menyeluruh sebab ini ada kaitannya dengan kedudukan kita malam ini, untuk membincangkan isu, untuk menerangkan kepada rakyat apa sebenarnya peranan PETRONAS dan apa yang telah dilakukan oleh PETRONAS, untuk menjelaskan beberapa mitos dan realiti yang berkaitan dengan PETRONAS. Saya serahkan kepada saudara Raj.

BERNAMA: Tan Sri, 10 tahun yang lalu PETRONAS telah mengambil alih MISC, ketika itu, ini dikatakan satu bail out. PETRONAS membayar RM2 bilion untuk membeli MISC dan kalau tak silap, RM2 bilion untuk pinjaman. Selepas 1 dekad, 10 tahun, macam mana pulangan daripada pelaburan ini, adakah untung atau pun tak untung?

TAN SRI HASSAN MARICAN: Saya rasa itu tak betul kalau dikatakan pembelian PETRONAS di dalam syarikat MISC sebagai bail out. Kita ada 2 peringkat. Pada permulaannya PETRONAS membeli lebih kurang 30% dalam syarikat MISC daripada Kwok, masa itu. Lepas itu kita meningkatkannya dengan kita injek tanker-tanker LNG PETRONAS ke dalam MISC. Itu telah meningkatkan share ke dalam MISC kepada lebih kurang 62%. Yang dikatakan satu bail out ialah pembelian kapal-kapal daripada konsortium. Valuation telah dibuat oleh pakar valuation kapal dari Eropah dan juga investment bank. Kita telah membayar lebih kurang USD210 juta dan USD55 juta untuk kapal bulk dan bakinya untuk 3 kapal LNG yang dimiliki konsortium. Kita buat ini untuk kita nak consolidate operasi tanker LNG di dalam kumpulan PETRONAS.

Dan sekarang MISC ialah sebuah syarikat terbesar, owner operator of LNG di dunia. Kalau kita tengok prestasi MISC sekarang, semasa kita beli dulu dalam tahun 1996, keuntungan sebelum cukai MISC RM506 juta, sekarang seperti yang telah diumumkan, RM2,930 juta dalam tahun 2007, iaitu 2 bilion. Kita bukan saja syarikat terbesar LNG, kita juga syarikat yang kedua terbesar alphabex tanker.

THE EDGE: Tan Sri, itu merupakan pelaburan yang baik. Tetapi PETRONAS juga mempunyai masalah persepsi sebagai satu organisasi yang terlibat dalam projek mewah. Contohnya FI, Putrajaya, Philharmonic, dan juga terlibat dalam pembelian Daya Bumi sendiri. Ramai mengatakan ini bukan dan tidak seharusnya menjadi tugas PETRONAS untuk melabur atau membeli syarikat-syarikat ini. Apa komen Tan Sri.

TAN SRI HASSAN MARICAN: Banyak yang mengatakan yang Circuit di Sepang dibina dan dimiliki PETRONAS. Itu tidak betul. Circuit di Sepang dimiliki oleh MAB (Malaysia Airport Berhad) dan bukan PETRONAS. PETRONAS sponsor team BMW Sauber di dalam sport F1. Dan dalam tahun 1995, kita telah mengatur strategi untuk kita ke arena global. Kita telah memilih sukan F1 sebagai satu sukan yang boleh menyebarkan jenama PETRONAS di seluruh dunia. Dan strategi ini telah kita ikut sebab dalam setahun lebih kurang 6 bilion peminat/penonton sukan F1 di dalam dunia. Sukan yang paling popular selepas Olimpik dan World Cup. Kita telah meraih banyak keuntungan dengan cara ini. Exposure dan juga kos peminjaman kita telah turun sebab orang telah mengenali PETRONAS di seluruh dunia.

Daya Bumi kita beli daripada UDA dalam tahun 1985/6 sebabnya PETRONAS menyewa bangunan Daya Bumi pada masa itu. Jadi, bila diambil kira lebih elok PETRONAS membeli bangunan itu daripada menyewa.

PERANTARA: Tan Sri, kita ada waktu yang cukup terbatas. Kita telah lalui perbincangan lebih daripada 57 minit setakat ini. Cuma pada pengakhir perbincangan ini saya nak minta Tan Sri menyebutkan atau memberikan pandangan umum tentang harapan PETRONAS sendiri. Apa sebenarnya Tan Sri rasa rakyat perlu tahu, sekurang-kurangnya ini adalah mesej yang Tan Sri ingin sampaikan kepada rakyat dalam konteks yang kita bincangkan hari ini.

TAN SRI HASSAN MARICAN: Saya ingin membawa mesej daripada warga PETRONAS. Lebih kurang 30,000 rakyat Malaysia yang bekerja di dalam PETRONAS. Saya ada terima e-mel-e-mel daripada pekerja/kakitangan PETRONAS, yang bertanyakan kepada saya, kenapalah kami dipukul macam-macam komen yang negatif kepada PETRONAS. Kami di lautan mengeluarkan minyak, bekerja dengan risiko yang tinggi, tinggalkan anak bini selama dua minggu tetapi masalah ini, kita telah bertungkus-lumus bekerja tapi dipukul lagi. Kita rasa terkilan. Ini bukan masalah PETRONAS, ini masalah dunia, masalah global.

PERANTARA: Terima kasih Tan Sri, Saudara penonton yang saya hormati sekalian, demikian tadi kita telah bersemuka dengan YBhg Tan Sri Hassan Marican, Presiden dan Ketua Eksekutif PETRONAS dan dua wartawan yang bersama-sama kita pada malam ini ialah Saudara Ahmad Azam, Editor Eksekutif The Edge dan Saudara Mikail Raj Abdullah, Editor Kanan Ekonomi BERNAMA, saya ucapkan terima kasih kepada dua wartawan ini. Dan saya ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Tan Sri kerana dapat bersama-sama kita dan ini julung-julung kali Tan Sri bersama kita dalam rancangan talk show dan saya merasakan mungkin saudara dapat sedikit manfaat daripada pertemuan kita pada malam ini. Banyak perkara yang telah diterangkan oleh Tan Sri dan sebahagiannya ialah persepsi yang salah yang telah diberikan dan telah membetulkan beberapa pandangan dan andaian yang selama ini kita ambil mudah. Saudara, mudah-mudahan kita dapat bertemu dengan Tan Sri dalam program-program yang lain. Saya akhiri dengan Assalamualaikum dan salam sejahtera dan selamat malam.

DISEDIAKAN OLEH:
BAHAGIAN PENERBITAN DASAR NEGARA
JABATAN PENERANGAN MALAYSIA


[Selanjutnya]

Thursday, June 19, 2008

Penjelasan Mengenai Subsidi dan Bantuan Kerajaan Kepada Rakyat


Secara umum, ramai yang masih tidak faham tentang kaitan kenaikan harga minyak dunia dengan langkah kerajaan menstruktur semula subsidi minyak sehingga menimbulkan keraguan dan pertanyaan daripada pelbagai pihak. Kenaikan harga minyak adalah fenomena global yang berpunca daripada banyak sebab antaranya permintaan yang tinggi bagi minyak mentah daripada China dan India berbanding bekalan sehingga menyebabkan pasaran menjadi lebih tertekan. Begitu juga dengan keadaan geo-politik yang tidak stabil dan tidakmenentu di beberapa negara OPEC seperti Iran, Iraq dan Nigeria yang sedikit sebanyak menjejaskan pengeluarannya selain pembelian spekulasi oleh pelabur yang mahu melindungi nilai pelaburan mereka berikutan daripada kelemahan nilai dolar Amerika.

Pilihan yang ada untuk mengekang kenaikan harga yang tidak terkawal itu adalah dengan menilai atau menstruktur semula subsidi. Ini kerana kenaikan harga minyak mentah dunia yang terus meningkat bermakna tanggungan subsidi kerajaan juga turut meningkat seterusnya memberi kesan kepada keperluan pembangunan negara untuk kepentingan rakyat yang lebih mendesak.








Malaysia mengeluarkan minyak jenis Tapis, namun minyak tersebut tidak digunakan dalam negeri kerana berkualiti tinggi serta harga lebih mahal dan lebih menguntungkan jika dieksport. Oleh itu, Malaysia mengimport minyak jenis lain yang harganya lebih rendah untuk kegunaan tempatan. Dengan ini Malaysia mendapat keuntungan dengan mengeksport minyak yang lebih mahal dan mengimport minyak yang lebih murah.

Harga minyak ditentukan oleh pasaran dunia dan di luar kawalan Malaysia. Walau bagaimanapun OPEC memainkan peranan penting dalam menentukan tahap pengeluaran minyak dunia tetapi ia tidak mampu mempengaruhi harga pasaran minyak sepenuhnya.

Dari segi produk petroleum tempatan (petrol, diesel dan LPG), PETRONAS hanya
membekalkan 42 peratus daripada pasaran runcit produk petroleum. Bakinya dibekalkan oleh syarikat asing seperti Shell, Exxon-Mobil, BHP dan Chevron. Jika harga runcit produk petroleum hendak dikekal rendah, Kerajaan terpaksa menanggung keseluruhan subsidi minyak dan adalah tidak bijak Kerajaan berbuat demikian.Jika PETRONAS pula dikehendaki menanggung keseluruhan subsidi tersebut, bermakna PETRONAS juga terpaksa menanggung subsidi yang sepatutnya dibayar oleh Shell ,Exxon-Mobil, BHP dan Chevron. Ini kerana Kerajaan tidak boleh memaksa syarikat minyak asing untuk menanggung subsidi tersebut kerana ia bukan milik Kerajaan.



3. Berapakah harga petrol RON97 dan diesel di Malaysia berbanding harga di negara jiran?


Secara perbandingan, harga petrol RON97 dan diesel di Malaysia adalah lebih murah daripada kebanyakan negara ASEAN. Malah, ia adalah di antara yang terendah di dunia. (Sila lihat Carta 2 dan 3)











4. Bagaimanakah Kerajaan memastikan harga produk petroleum lebih rendah daripada negara jiran?


• Kerajaan memastikan harga produk petroleum (petrol, diesel dan LPG) rendah dengan memberi subsidi dan pengecualian cukai jualan kepada pengguna.

• Harga sebenar produk petroleum berbanding harga runcit adalah seperti di Carta 4, 5 dan 6.







• Dengan adanya subsidi, harga runcit bagi satu tong gas seberat 12 kilogram di Semenanjung adalah RM21.00 sedangkan harga sebenar ialah RM45.61. Jadi bagi setiap tong gas 12kg di Semenanjung, Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM24.61. Subsidi yang ditanggung oleh Kerajaan bagi setiap tong gas 12kg di Sabah ialah RM25.38 manakala di Sarawak ialah
RM25.28. (Sila lihat Carta 7).




5. Kenapa Kerajaan perlu berhemat dalam pemberian subsidi bagi produk petroleum?


• Ini adalah kerana jumlah tanggungan subsidi Kerajaan semakin besar iaitu RM16.2 bilion pada
tahun 2007. Sekiranya harga minyak mentah dunia terus meningkat, tanggungan subsidi Kerajaan juga turut meningkat. Sila lihat Jadual 1.





• Apabila jumlah subsidi dan pengecualian cukai jualan semakin meningkat, wang yang ada untuk tujuan pembangunan serta subsidi sektor lain terpaksa dikurangkan.

• Pemberian subsidi dan pengecualian cukai jualan yang tidak berhemat akan meningkatkan perbelanjaan mengurus Kerajaan dan seterusnya memburukkan keadaan defisit akaun Kerajaan. Ini akan menyebabkan Kerajaan terpaksa terus berhutang bagi menampung perbelanjaan yang semakin meningkat tersebut. Sekiranya keadaan ini berterusan, beban hutang akan terus ditanggung oleh generasi akan datang.




6. Siapakah yang sepatutnya mendapat manfaat subsidi?


• Tujuan Kerajaan memberi subsidi minyak adalah untuk mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Sebaliknya, subsidi lebih banyak dinikmati oleh golongan kaya yang menggunakan kenderaan mewah berbanding dengan golongan sasar yang hanya menggunakan kereta berkuasa kecil dan motorsikal.

• Harga runcit produk petroleum dalam negeri jauh lebih rendah berbanding harga runcit di negara jiran. Ini menggalakkan kegiatan penyeludupan ke luar negara yang bererti rakyat asing dapat menikmati subsidi tersebut. Dengan kata lain, wang rakyat Malaysia digunakan untuk faedah rakyat negara jiran dan penyeludup.

• Subsidi produk petroleum hanya diberikan kepada pengguna kenderaan persendirian dan isi rumah serta sektor tertentu seperti sektor pertanian dan pengangkutan awam termasuk bot penumpang. Walau bagaimanapun, berlaku penyelewengan penjualan produk petroleum bersubsidi tersebut kepada sektor perindustrian dan ini menguntungkan pihak tidak sepatutnya menikmati subsidi berkenaan.

• Jumlah penjualan diesel bersubsidi tidak setimpal dengan jumlah pendaratan ikan seperti di Carta 8. Ini menunjukkan wujudnya penyelewengan penjualan diesel untuk nelayan kepada pihak lain.







7. Adakah Kerajaan memberi subsidi produk petroleum tambahan kepada sektor-sektor tertentu?



• Ya, selain daripada subsidi produk petroleum yang telah disebutkan, Kerajaan juga telah memberi beberapa subsidi tambahan kepada sektor terpilih. Ini untuk mengurangkan beban rakyat, terutama mereka berpendapatan rendah dan sederhana serta memastikan harga barangan dan perkhidmatan tidak meningkat dengan mendadak.

• Subsidi tambahan turut diberi kepada pengusaha kenderaan awam dan perdagangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi. Sebanyak 84 peratus pengangkutan awam dan pengangkutan barangan pengguna atau lebih 275,900 kenderaan layak menikmati harga diesel bersubsidi pada harga RM1.43 seliter. Harga ini adalah 15 sen lebih rendah berbanding harga semasa RM1.58 seliter untuk pengguna lain.

• Sebanyak 20 jenis kenderaan termasuk bas sekolah, bas ekspres, bas mini, kereta sewa dan teksi layak menggunakan kemudahan fleetcard ini di 3,121 stesen minyak di seluruh negara. Surat kelulusan dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

• Kerajaan juga melaksanakan Sistem e-Diesel Nelayan bagi sektor perikanan. Melalui sistem ini, Kerajaan menetapkan diesel bersubsidi pada harga RM1.00 seliter kepada kira-kira 18,000 nelayan di seluruh negara.

• Selain itu, seramai 15,000 nelayan pesisir pantai yang menggunakan bot dengan enjin sangkut petrol dan berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) juga menikmati petrol bersubsidi pada harga RM1.00 seliter.

• Diesel bersubsidi juga diberikan kepada pengusaha bot penumpang di pedalaman Sabah dan Sarawak pada harga RM1.20 seliter.


8. Apakah sumbangan PETRONAS kepada negara?



• PETRONAS adalah sebuah syarikat ditubuhkan oleh Kerajaan pada tahun 1974, bertujuan untuk membangunkan sumber minyak dan gas negara.

• Kini, PETRONAS telah berkembang untuk menjadi sebuah syarikat minyak dan gas yang tersenarai dalam Fortune Global 500, iaitu tergolong sebagai salah satu syarikat terbesar dunia. PETRONAS mempunyai empat anak syarikat yang disenaraikan dalam Bursa Malaysia dan beroperasi di lebih 33 buah negara. Ini menjadikan PETRONAS sebagai sebuah syarikat minyak dan gas multinasional.

• Terdapat banyak sumbangan besar PETRONAS kepada negara, di antaranya :
o Pada tahun 2007, PETRONAS telah menyumbang RM48.3 bilion dalam bentuk cukai,dividen dan royalti. Jumlah ini merupakan 66.2 peratus daripada keuntungan kasar.

o Dalam sektor pendidikan, PETRONAS telah menubuhkan Universiti Teknologi Petronas dan Institut Teknologi Petroleum bagi menyediakan peluang pengajian di peringkat tertiari.PETRONAS juga turut memberikan biasiswa kepada pelajar berkelayakan di sekolah menengah dan di universiti tempatan dan luar negara.

o Petrosains di KLCC yang dimiliki dan dikendali oleh PETRONAS adalah bagi mendedah dan meningkatkan minat para pelajar dan generasi muda terhadap ilmu sains dan teknologi.Pendedahan ini diharap menjadi langkah pertama ke arah mendalami imu tersebut dan seterusnya melahirkan ahli sains dan teknologi tempatan yang berwibawa.

o Pembinaan KLCC merupakan mercu tanda utama pembangunan negara manakala Taman
Rekreasi KLCC disediakan secara percuma untuk kegunaan semua golongan masyarakat.

o PETRONAS melalui anak syarikatnya Putrajaya Holdings Sdn. Bhd. sebagai pemaju Putrajaya telah menyumbang kepada pembangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya. Di samping itu, PETRONAS berperanan sebagai agensi peneraju
Koridor Ekonomi Wilayah Timur.

o Dalam sektor pelancongan, PETRONAS telah menganjurkan sukan elit Formula 1 di Malaysia sebagai salah satu strategi penjenamaan Malaysia di peringkat antarabangsa dan sebagai satu usaha untuk menggalakkan pelancongan di dalam negara. Di samping itu, PETRONAS melibakan diri dalam teknologi pembangunan enjin automatif bagi Formula 1 dan kegunaan komersil.

o Selain itu, PETRONAS juga memberi subsidi gas kepada sektor tenaga dan sektor bukan tenaga berjumlah RM58.2 bilion bagi tempoh Mei 1997 hingga Mac 2007. Harga gas yang ditetapkan kepada sektor tenaga pada masa ini hanyalah RM6.40 setiap mil ion British Thermal Unit (mmbtu) sahaja sedangkan harga gas berasaskan harga komersial ialah sebanyak RM40.53 setiap mmbtu. Pada tahun 2006, PETRONAS telah membelanjakan sebanyak RM15.6 bilion untuk membekalkan gas bersubsidi kepada sektor tenaga dan bukan tenaga.


BANTUAN-BANTUAN LAIN

9. Selain daripada subsidi minyak, adakah bantuan lain yang diberi oleh Kerajaan?


• Ya, selain daripada subsidi minyak terdapat pelbagai bantuan lain yang diberikan oleh Kerajaan. Subsidi adalah bantuan diterima secara terus oleh pengguna atau pengeluar/pengusaha seperti subsidi minyak, persekolahan seperti bantuan makanan dan pinjaman buku teks, subsidi bantuan harga padi dan subsidi baja, subsidi kepada orang asli,pengangkutan udara ke kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak dan sebagainya.

• Bantuan-bantuan lain adalah dalam bentuk perkhidmatan yang diberikan oleh Kerajaan dengan harga bayaran minimum atau percuma. Di antaranya adalah rawatan perubatan di klinik dan hospital Kerajaan, pendidikan di sekolah rendah, menengah dan di institusi pengajian tinggi awam, biasiswa dan pinjaman pelajaran.

• Pada tahun 2007 sebanyak RM9.2 bilion telah dibelanjakan oleh Kerajaan dalam bentuk pelbagai bantuan kepada rakyat seperti di Jadual 2.





10. Apakah bantuan-bantuan lain yang diberikan oleh Kerajaan untuk meningkatkan kualiti
hidup rakyat? Sila jelaskan.



• Pertanian

o Seramai 50,832 peneroka Felda akan menerima kenaikan kadar pinjaman sara hidup dan pendahuluan pendapatan dengan peruntukan sebanyak RM2.15 bilion dalam tempoh lima tahun mulai Mac 2008 hingga tahun 2012. Selain itu, peneroka kelapa sawit juga akan menerima pendapatan tambahan melalui agihan bayaran lebihan hasil. Peruntukan ini melibatkan RM1.89 bilion bagi peneroka kelapa sawit manakala RM250 juta bagi peneroka getah.

Di samping itu, Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM488 juta bagi subsidi harga padi pada tahun 2007 dan sejumlah RM226 juta bagi subsidi baja padi. Nilai subsidi padi adalah sebanyak RM248.10 setan metrik dengan ini harga padi dapat dinaikkan daripada RM550 setan metrik ke paras RM650 setan metrik. Kenaikan ini membantu meningkatkan pendapatan petani dan pensawah padi.

o Bank Pertanian Malaysia pula telah memberi pinjaman kepada petani dengan kadar faedah yang rendah 3.75 peratus setahun berbanding kadar faedah pasaran 8.76 peratus. Nelayan juga mendapat pinjaman dengan kadar faedah rendah sebanyak 0 hingga 2.5 peratus setahun di bawah Dana Nelayan LKIM.


• Pendidikan

o Kementerian Pelajaran telah memperuntukkan RM3 bilion menerusi Skim Bantuan
Tambahan kepada pelajar di seluruh negara pada tahun 2008. Jumlah yang besar ini adalah untuk memastikan golongan kurang berkemampuan mendapat pembelaan
sewajarnya dan bagi mengelakkan mereka tercicir daripada arus pendidikan negara.

o Di samping itu, bermula pada tahun 2008, pendidikan awam diberikan secara percuma.Yuran peperiksaan PMR, SPM, STPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia serta yuran sekolah menengah dan rendah telah dimansuhkan. Skim Pinjaman Buku Teks juga telah diperluaskan meliputi semua pelajar.

o Bagi tahun 2008, Program Rancangan Makanan Tambahan telah diperuntukkan sebanyak
RM276 juta di mana setiap pelajar miskin akan dapat RM1.20 sehingga RM2.05. Program
Susu Sekolah diperuntukkan sebanyak RM26.7 juta untuk 621,773 pelajar. Sebanyak RM188.8 juta adalah bantuan kepada murid sekolah rendah dan menengah untuk membeli pakaian seragam unit beruniform. Bantuan Makan Khas Prasekolah diperuntukkan RM50 juta untuk 171,550 pelajar.

o Bantuan Makanan Asrama dinaikkan daripada RM9.50 kepada RM12.00 meningkat
daripada RM665 juta pada tahun lalu kepada RM1.08 bilion. Sebanyak RM268.5 juta
diperuntukkan bagi Biasiswa Kecil Persekutuan, Biasiswa Kelas Persediaan Universiti dan Skim Biasiswa Sukan. Selain itu, RM200 juta diperuntukkan kepada Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin, RM246.9 juta untuk Skim Bantuan Tuisyen dan RM91 juta bagi Bantuan Perjalanan dan Pengangkutan Murid. Di samping itu, kelas-kelas percuma untuk ibu bapa dalam kalangan Orang Asli diadakan supaya mereka hadir bersama anak masing-masing.

o Untuk pelajar yang meminjam daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional(PTPTN), mereka hanya dikenakan kadar faedah 3.0 peratus setahun sedangkan Tabung berkenaan terpaksa membayar faedah 5.0 peratus setahun kepada KWSP. Ini bererti Kerajaan melalui PTPTN memberikan subsidi kadar faedah 2.0 peratus setahun kepada setiap pelajar yang meminjam daripada PTPTN. (Sila lihat Jadual 3).



o Di samping itu, Kerajaan juga telah menaikkan elaun sara hidup pelajar di semua peringkat pengajian tempatan, termasuk kursus persediaan dan kursus luar negeri ,di antara 23 hingga 84 peratus mulai semester pertama sesi 2007.

o Selain itu, mahasiswa / mahasiswi juga dapat menikmati yuran pengajian yang lebih rendah seperti di Jadual 4, memandangkan sebahagian besar yuran adalah ditanggung oleh Kerajaan.



• Kesihatan

o Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM8.7 bilion pada tahun 2006 di bawah perbelanjaan mengurus berbanding kutipan daripada perkhidmatan perubatan, kesihatan dan pergigian berjumlah RM167.3 juta. Ini bermakna Kerajaan memberi bantuan RM8.5 bilion untuk rakyat menerima rawatan kesihatan Kerajaan. Kerajaan juga telah membelanjakan RM2.7 bilion di bawah peruntukan pembangunan RMKe-9 untuk meningkatkan kemudahan kesihatan.

o Malah, ramai tidak sedar bahawa bayaran rawatan kesihatan oleh rakyat adalah kecil berbanding dengan kualiti perkhidmatan yang diterima. Rawatan kanak-kanak di bawah satu tahun dan suntikan imunisasi diberikan secara percuma. Begitu juga rawatan kepada pelajar, golongan kurang upaya, pesara dan anggota perkhidmatan awam serta pasukan beruniform diberikan secara percuma manakala bagi warganegara yang lain dikenakan bayaran paling minimum seperti berikut :





o Bayaran minimum yang dikenakan bagi kemasukan ke wad adalah seperti di Jadual 6.



o Caj yang dikenakan oleh klinik dan hospital Kerajaan adalah jauh lebih murah jika dibanding dengan caj yang dikenakan oleh klinik, hospital dan pusat perubatan swasta seperti di Jadual 7 dan 8.





• Perumahan

o Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), Kerajaan berhasrat untuk membina sebanyak 24,757 unit rumah kos rendah untuk golongan berpendapatan rendah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR). Sehingga kini, unit rumah yang dibina di bawah PPR adalah sebanyak 14,351 unit di seluruh negara.

o Dalam tempoh RMKe-9, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah membina sebanyak 58,245 unit rumah kos rendah dan kos sederhana rendah di kawasan bandar dan subbandar. SPNB juga membina sebanyak 166 unit rumah di Kedah dan 658 unit rumah di Pulau Pinang untuk penempatan semula mangsa Tsunami.


• Tenaga elektrik

o Kadar sebenar tarif elektrik yang dibekalkan kepada pengguna adalah pada kadar yang telah disubsidi. Ini kerana gas asli yang dijual oleh PETRONAS untuk penjanaan tenaga elektrik hanyalah RM6.40 setiap mmbtu berbanding harga pasaran RM40.53 setiap mmbtu. Ini bererti bagi setiap unit mmbtu gas asli yang dijual, PETRONAS menanggung subsidi sebanyak RM34.13.

o Dalam menyediakan bekalan tenaga elektrik, Kerajaan sentiasa mengutamakan kebajikan golongan berpendapatan rendah iaitu dengan mengekalkan kadar tarif elektrik pada kadar21 sen kilowatt-jam bagi penggunaan tidak melebihi 200 kWj sebulan walaupun pelarasan tarif elektrik telah dibuat pada Jun 2006. Sebanyak 3.3 juta isi rumah di Semenanjungmengguna kurang dari 200 kWj sebulan pada masa ini.

o Setelah mengambil kira kadar tarif yang telah disubsidi, jumlah subsidi yang ditanggung untuk pengguna domestik ialah RM220 juta manakala lampu awam ialah RM90 juta bagi tahun 2007.

• Orang Asli

o Dalam tempoh RMKe-9, satu pelan pembangunan yang menyeluruh akan dilaksanakan bagi menangani kadar kemiskinan yang tinggi di kalangan masyarakat Orang Asli. Untuk itu, peruntukan sebanyak RM233.1 juta telah disediakan untuk membina rumah golongan miskin yang berpendapatan kurang daripada RM415 sebulan (termasuk Orang Asli), termasuk membaik pulih kira-kira 14,000 rumah usang. Selain itu, skim pembangunan tanah baru dan penempatan semula yang dilaksanakan telah memberi manfaat kepada 84,250 Orang Asli, iaitu kira-kira separuh daripada jumlah penduduk Orang Asli.



11. Jadi berapa jumlah subsidi dan bantuan Kerajaan kepada rakyat?


• Jumlah subsidi serta bantuan lain yang ditanggung oleh Kerajaan adalah besar seperti di Jadual 9.



RUMUSAN


• Kerajaan amat prihatin kepada masalah berkaitan kebajikan dan taraf hidup rakyat. Sehubungan ini, Kerajaan sentiasa berusaha bagi memastikan perbelanjaan hidup rakyat tidak terjejas berikutan dengan kenaikan harga produk petroleum dan barang-barang perlu di Malaysia.

• Namun begitu, jumlah subsidi dan bantuan kepada rakyat perlu dihadkan pada tahap yang munasabah agar perbelanjaan Kerajaan dapat dimanfaatkan secara lebih adil dan digunakan untuk pelbagai tujuan demi kebaikan rakyat secara keseluruhan. Perbelanjaan yang terlalu tinggi ke atas subsidi akan menjejaskan keperluan untuk perbelanjaan pembangunan ke arah meningkatkan taraf hidup rakyat dan negara.

• Subsidi dan bantuan lain yang diberikan oleh Kerajaan adalah untuk meringankan beban kewangan rakyat. Pada masa yang sama, rakyat sendiri perlu mengurus perbelanjaan mereka dengan bijak selaras dengan kemampuan masing-masing.


[Selanjutnya]

Wednesday, June 18, 2008

Soalan Minggu Ini: Apa Yang Anda Harapkan Dalam Bajet 2009?



Kenyataan Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang memberi jaminan Bajet 2009 yang akan dibentang hujung tahun ini tidak akan membebankan rakyat, sudah pasti memberi satu kelegaan besar kepada rakyat. Lebih-lebih lagi jaminan beliau tersebut bakal memihak kepada rakyat di peringkat bawahan yang kini berdepan dengan kesukaran akibat kenaikan harga minyak, barangan makanan dan perkhidmatan.

Bajet 2009 juga menurut beliau akan memberikan tumpuan untuk menyelesaikan isu-isu besar yang menjadi kegelisahan rakyat kebelakangan ini. Antara yang akan diberi tumpuan adalah untuk menyedia kemudahan pengangkutan awam yang cekap dan berkesan. Langkah tersebut bertujuan untuk meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat berikutan peningkatan mendadak kos bahan bakar di samping menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.

Apakah syor anda kepada pihak kerajaan?

[Selanjutnya]