Thursday, June 19, 2008

Penjelasan Mengenai Subsidi dan Bantuan Kerajaan Kepada Rakyat


Secara umum, ramai yang masih tidak faham tentang kaitan kenaikan harga minyak dunia dengan langkah kerajaan menstruktur semula subsidi minyak sehingga menimbulkan keraguan dan pertanyaan daripada pelbagai pihak. Kenaikan harga minyak adalah fenomena global yang berpunca daripada banyak sebab antaranya permintaan yang tinggi bagi minyak mentah daripada China dan India berbanding bekalan sehingga menyebabkan pasaran menjadi lebih tertekan. Begitu juga dengan keadaan geo-politik yang tidak stabil dan tidakmenentu di beberapa negara OPEC seperti Iran, Iraq dan Nigeria yang sedikit sebanyak menjejaskan pengeluarannya selain pembelian spekulasi oleh pelabur yang mahu melindungi nilai pelaburan mereka berikutan daripada kelemahan nilai dolar Amerika.

Pilihan yang ada untuk mengekang kenaikan harga yang tidak terkawal itu adalah dengan menilai atau menstruktur semula subsidi. Ini kerana kenaikan harga minyak mentah dunia yang terus meningkat bermakna tanggungan subsidi kerajaan juga turut meningkat seterusnya memberi kesan kepada keperluan pembangunan negara untuk kepentingan rakyat yang lebih mendesak.








Malaysia mengeluarkan minyak jenis Tapis, namun minyak tersebut tidak digunakan dalam negeri kerana berkualiti tinggi serta harga lebih mahal dan lebih menguntungkan jika dieksport. Oleh itu, Malaysia mengimport minyak jenis lain yang harganya lebih rendah untuk kegunaan tempatan. Dengan ini Malaysia mendapat keuntungan dengan mengeksport minyak yang lebih mahal dan mengimport minyak yang lebih murah.

Harga minyak ditentukan oleh pasaran dunia dan di luar kawalan Malaysia. Walau bagaimanapun OPEC memainkan peranan penting dalam menentukan tahap pengeluaran minyak dunia tetapi ia tidak mampu mempengaruhi harga pasaran minyak sepenuhnya.

Dari segi produk petroleum tempatan (petrol, diesel dan LPG), PETRONAS hanya
membekalkan 42 peratus daripada pasaran runcit produk petroleum. Bakinya dibekalkan oleh syarikat asing seperti Shell, Exxon-Mobil, BHP dan Chevron. Jika harga runcit produk petroleum hendak dikekal rendah, Kerajaan terpaksa menanggung keseluruhan subsidi minyak dan adalah tidak bijak Kerajaan berbuat demikian.Jika PETRONAS pula dikehendaki menanggung keseluruhan subsidi tersebut, bermakna PETRONAS juga terpaksa menanggung subsidi yang sepatutnya dibayar oleh Shell ,Exxon-Mobil, BHP dan Chevron. Ini kerana Kerajaan tidak boleh memaksa syarikat minyak asing untuk menanggung subsidi tersebut kerana ia bukan milik Kerajaan.



3. Berapakah harga petrol RON97 dan diesel di Malaysia berbanding harga di negara jiran?


Secara perbandingan, harga petrol RON97 dan diesel di Malaysia adalah lebih murah daripada kebanyakan negara ASEAN. Malah, ia adalah di antara yang terendah di dunia. (Sila lihat Carta 2 dan 3)











4. Bagaimanakah Kerajaan memastikan harga produk petroleum lebih rendah daripada negara jiran?


• Kerajaan memastikan harga produk petroleum (petrol, diesel dan LPG) rendah dengan memberi subsidi dan pengecualian cukai jualan kepada pengguna.

• Harga sebenar produk petroleum berbanding harga runcit adalah seperti di Carta 4, 5 dan 6.







• Dengan adanya subsidi, harga runcit bagi satu tong gas seberat 12 kilogram di Semenanjung adalah RM21.00 sedangkan harga sebenar ialah RM45.61. Jadi bagi setiap tong gas 12kg di Semenanjung, Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM24.61. Subsidi yang ditanggung oleh Kerajaan bagi setiap tong gas 12kg di Sabah ialah RM25.38 manakala di Sarawak ialah
RM25.28. (Sila lihat Carta 7).




5. Kenapa Kerajaan perlu berhemat dalam pemberian subsidi bagi produk petroleum?


• Ini adalah kerana jumlah tanggungan subsidi Kerajaan semakin besar iaitu RM16.2 bilion pada
tahun 2007. Sekiranya harga minyak mentah dunia terus meningkat, tanggungan subsidi Kerajaan juga turut meningkat. Sila lihat Jadual 1.





• Apabila jumlah subsidi dan pengecualian cukai jualan semakin meningkat, wang yang ada untuk tujuan pembangunan serta subsidi sektor lain terpaksa dikurangkan.

• Pemberian subsidi dan pengecualian cukai jualan yang tidak berhemat akan meningkatkan perbelanjaan mengurus Kerajaan dan seterusnya memburukkan keadaan defisit akaun Kerajaan. Ini akan menyebabkan Kerajaan terpaksa terus berhutang bagi menampung perbelanjaan yang semakin meningkat tersebut. Sekiranya keadaan ini berterusan, beban hutang akan terus ditanggung oleh generasi akan datang.




6. Siapakah yang sepatutnya mendapat manfaat subsidi?


• Tujuan Kerajaan memberi subsidi minyak adalah untuk mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Sebaliknya, subsidi lebih banyak dinikmati oleh golongan kaya yang menggunakan kenderaan mewah berbanding dengan golongan sasar yang hanya menggunakan kereta berkuasa kecil dan motorsikal.

• Harga runcit produk petroleum dalam negeri jauh lebih rendah berbanding harga runcit di negara jiran. Ini menggalakkan kegiatan penyeludupan ke luar negara yang bererti rakyat asing dapat menikmati subsidi tersebut. Dengan kata lain, wang rakyat Malaysia digunakan untuk faedah rakyat negara jiran dan penyeludup.

• Subsidi produk petroleum hanya diberikan kepada pengguna kenderaan persendirian dan isi rumah serta sektor tertentu seperti sektor pertanian dan pengangkutan awam termasuk bot penumpang. Walau bagaimanapun, berlaku penyelewengan penjualan produk petroleum bersubsidi tersebut kepada sektor perindustrian dan ini menguntungkan pihak tidak sepatutnya menikmati subsidi berkenaan.

• Jumlah penjualan diesel bersubsidi tidak setimpal dengan jumlah pendaratan ikan seperti di Carta 8. Ini menunjukkan wujudnya penyelewengan penjualan diesel untuk nelayan kepada pihak lain.







7. Adakah Kerajaan memberi subsidi produk petroleum tambahan kepada sektor-sektor tertentu?



• Ya, selain daripada subsidi produk petroleum yang telah disebutkan, Kerajaan juga telah memberi beberapa subsidi tambahan kepada sektor terpilih. Ini untuk mengurangkan beban rakyat, terutama mereka berpendapatan rendah dan sederhana serta memastikan harga barangan dan perkhidmatan tidak meningkat dengan mendadak.

• Subsidi tambahan turut diberi kepada pengusaha kenderaan awam dan perdagangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi. Sebanyak 84 peratus pengangkutan awam dan pengangkutan barangan pengguna atau lebih 275,900 kenderaan layak menikmati harga diesel bersubsidi pada harga RM1.43 seliter. Harga ini adalah 15 sen lebih rendah berbanding harga semasa RM1.58 seliter untuk pengguna lain.

• Sebanyak 20 jenis kenderaan termasuk bas sekolah, bas ekspres, bas mini, kereta sewa dan teksi layak menggunakan kemudahan fleetcard ini di 3,121 stesen minyak di seluruh negara. Surat kelulusan dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

• Kerajaan juga melaksanakan Sistem e-Diesel Nelayan bagi sektor perikanan. Melalui sistem ini, Kerajaan menetapkan diesel bersubsidi pada harga RM1.00 seliter kepada kira-kira 18,000 nelayan di seluruh negara.

• Selain itu, seramai 15,000 nelayan pesisir pantai yang menggunakan bot dengan enjin sangkut petrol dan berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) juga menikmati petrol bersubsidi pada harga RM1.00 seliter.

• Diesel bersubsidi juga diberikan kepada pengusaha bot penumpang di pedalaman Sabah dan Sarawak pada harga RM1.20 seliter.


8. Apakah sumbangan PETRONAS kepada negara?



• PETRONAS adalah sebuah syarikat ditubuhkan oleh Kerajaan pada tahun 1974, bertujuan untuk membangunkan sumber minyak dan gas negara.

• Kini, PETRONAS telah berkembang untuk menjadi sebuah syarikat minyak dan gas yang tersenarai dalam Fortune Global 500, iaitu tergolong sebagai salah satu syarikat terbesar dunia. PETRONAS mempunyai empat anak syarikat yang disenaraikan dalam Bursa Malaysia dan beroperasi di lebih 33 buah negara. Ini menjadikan PETRONAS sebagai sebuah syarikat minyak dan gas multinasional.

• Terdapat banyak sumbangan besar PETRONAS kepada negara, di antaranya :
o Pada tahun 2007, PETRONAS telah menyumbang RM48.3 bilion dalam bentuk cukai,dividen dan royalti. Jumlah ini merupakan 66.2 peratus daripada keuntungan kasar.

o Dalam sektor pendidikan, PETRONAS telah menubuhkan Universiti Teknologi Petronas dan Institut Teknologi Petroleum bagi menyediakan peluang pengajian di peringkat tertiari.PETRONAS juga turut memberikan biasiswa kepada pelajar berkelayakan di sekolah menengah dan di universiti tempatan dan luar negara.

o Petrosains di KLCC yang dimiliki dan dikendali oleh PETRONAS adalah bagi mendedah dan meningkatkan minat para pelajar dan generasi muda terhadap ilmu sains dan teknologi.Pendedahan ini diharap menjadi langkah pertama ke arah mendalami imu tersebut dan seterusnya melahirkan ahli sains dan teknologi tempatan yang berwibawa.

o Pembinaan KLCC merupakan mercu tanda utama pembangunan negara manakala Taman
Rekreasi KLCC disediakan secara percuma untuk kegunaan semua golongan masyarakat.

o PETRONAS melalui anak syarikatnya Putrajaya Holdings Sdn. Bhd. sebagai pemaju Putrajaya telah menyumbang kepada pembangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya. Di samping itu, PETRONAS berperanan sebagai agensi peneraju
Koridor Ekonomi Wilayah Timur.

o Dalam sektor pelancongan, PETRONAS telah menganjurkan sukan elit Formula 1 di Malaysia sebagai salah satu strategi penjenamaan Malaysia di peringkat antarabangsa dan sebagai satu usaha untuk menggalakkan pelancongan di dalam negara. Di samping itu, PETRONAS melibakan diri dalam teknologi pembangunan enjin automatif bagi Formula 1 dan kegunaan komersil.

o Selain itu, PETRONAS juga memberi subsidi gas kepada sektor tenaga dan sektor bukan tenaga berjumlah RM58.2 bilion bagi tempoh Mei 1997 hingga Mac 2007. Harga gas yang ditetapkan kepada sektor tenaga pada masa ini hanyalah RM6.40 setiap mil ion British Thermal Unit (mmbtu) sahaja sedangkan harga gas berasaskan harga komersial ialah sebanyak RM40.53 setiap mmbtu. Pada tahun 2006, PETRONAS telah membelanjakan sebanyak RM15.6 bilion untuk membekalkan gas bersubsidi kepada sektor tenaga dan bukan tenaga.


BANTUAN-BANTUAN LAIN

9. Selain daripada subsidi minyak, adakah bantuan lain yang diberi oleh Kerajaan?


• Ya, selain daripada subsidi minyak terdapat pelbagai bantuan lain yang diberikan oleh Kerajaan. Subsidi adalah bantuan diterima secara terus oleh pengguna atau pengeluar/pengusaha seperti subsidi minyak, persekolahan seperti bantuan makanan dan pinjaman buku teks, subsidi bantuan harga padi dan subsidi baja, subsidi kepada orang asli,pengangkutan udara ke kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak dan sebagainya.

• Bantuan-bantuan lain adalah dalam bentuk perkhidmatan yang diberikan oleh Kerajaan dengan harga bayaran minimum atau percuma. Di antaranya adalah rawatan perubatan di klinik dan hospital Kerajaan, pendidikan di sekolah rendah, menengah dan di institusi pengajian tinggi awam, biasiswa dan pinjaman pelajaran.

• Pada tahun 2007 sebanyak RM9.2 bilion telah dibelanjakan oleh Kerajaan dalam bentuk pelbagai bantuan kepada rakyat seperti di Jadual 2.





10. Apakah bantuan-bantuan lain yang diberikan oleh Kerajaan untuk meningkatkan kualiti
hidup rakyat? Sila jelaskan.



• Pertanian

o Seramai 50,832 peneroka Felda akan menerima kenaikan kadar pinjaman sara hidup dan pendahuluan pendapatan dengan peruntukan sebanyak RM2.15 bilion dalam tempoh lima tahun mulai Mac 2008 hingga tahun 2012. Selain itu, peneroka kelapa sawit juga akan menerima pendapatan tambahan melalui agihan bayaran lebihan hasil. Peruntukan ini melibatkan RM1.89 bilion bagi peneroka kelapa sawit manakala RM250 juta bagi peneroka getah.

Di samping itu, Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM488 juta bagi subsidi harga padi pada tahun 2007 dan sejumlah RM226 juta bagi subsidi baja padi. Nilai subsidi padi adalah sebanyak RM248.10 setan metrik dengan ini harga padi dapat dinaikkan daripada RM550 setan metrik ke paras RM650 setan metrik. Kenaikan ini membantu meningkatkan pendapatan petani dan pensawah padi.

o Bank Pertanian Malaysia pula telah memberi pinjaman kepada petani dengan kadar faedah yang rendah 3.75 peratus setahun berbanding kadar faedah pasaran 8.76 peratus. Nelayan juga mendapat pinjaman dengan kadar faedah rendah sebanyak 0 hingga 2.5 peratus setahun di bawah Dana Nelayan LKIM.


• Pendidikan

o Kementerian Pelajaran telah memperuntukkan RM3 bilion menerusi Skim Bantuan
Tambahan kepada pelajar di seluruh negara pada tahun 2008. Jumlah yang besar ini adalah untuk memastikan golongan kurang berkemampuan mendapat pembelaan
sewajarnya dan bagi mengelakkan mereka tercicir daripada arus pendidikan negara.

o Di samping itu, bermula pada tahun 2008, pendidikan awam diberikan secara percuma.Yuran peperiksaan PMR, SPM, STPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia serta yuran sekolah menengah dan rendah telah dimansuhkan. Skim Pinjaman Buku Teks juga telah diperluaskan meliputi semua pelajar.

o Bagi tahun 2008, Program Rancangan Makanan Tambahan telah diperuntukkan sebanyak
RM276 juta di mana setiap pelajar miskin akan dapat RM1.20 sehingga RM2.05. Program
Susu Sekolah diperuntukkan sebanyak RM26.7 juta untuk 621,773 pelajar. Sebanyak RM188.8 juta adalah bantuan kepada murid sekolah rendah dan menengah untuk membeli pakaian seragam unit beruniform. Bantuan Makan Khas Prasekolah diperuntukkan RM50 juta untuk 171,550 pelajar.

o Bantuan Makanan Asrama dinaikkan daripada RM9.50 kepada RM12.00 meningkat
daripada RM665 juta pada tahun lalu kepada RM1.08 bilion. Sebanyak RM268.5 juta
diperuntukkan bagi Biasiswa Kecil Persekutuan, Biasiswa Kelas Persediaan Universiti dan Skim Biasiswa Sukan. Selain itu, RM200 juta diperuntukkan kepada Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin, RM246.9 juta untuk Skim Bantuan Tuisyen dan RM91 juta bagi Bantuan Perjalanan dan Pengangkutan Murid. Di samping itu, kelas-kelas percuma untuk ibu bapa dalam kalangan Orang Asli diadakan supaya mereka hadir bersama anak masing-masing.

o Untuk pelajar yang meminjam daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional(PTPTN), mereka hanya dikenakan kadar faedah 3.0 peratus setahun sedangkan Tabung berkenaan terpaksa membayar faedah 5.0 peratus setahun kepada KWSP. Ini bererti Kerajaan melalui PTPTN memberikan subsidi kadar faedah 2.0 peratus setahun kepada setiap pelajar yang meminjam daripada PTPTN. (Sila lihat Jadual 3).



o Di samping itu, Kerajaan juga telah menaikkan elaun sara hidup pelajar di semua peringkat pengajian tempatan, termasuk kursus persediaan dan kursus luar negeri ,di antara 23 hingga 84 peratus mulai semester pertama sesi 2007.

o Selain itu, mahasiswa / mahasiswi juga dapat menikmati yuran pengajian yang lebih rendah seperti di Jadual 4, memandangkan sebahagian besar yuran adalah ditanggung oleh Kerajaan.



• Kesihatan

o Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM8.7 bilion pada tahun 2006 di bawah perbelanjaan mengurus berbanding kutipan daripada perkhidmatan perubatan, kesihatan dan pergigian berjumlah RM167.3 juta. Ini bermakna Kerajaan memberi bantuan RM8.5 bilion untuk rakyat menerima rawatan kesihatan Kerajaan. Kerajaan juga telah membelanjakan RM2.7 bilion di bawah peruntukan pembangunan RMKe-9 untuk meningkatkan kemudahan kesihatan.

o Malah, ramai tidak sedar bahawa bayaran rawatan kesihatan oleh rakyat adalah kecil berbanding dengan kualiti perkhidmatan yang diterima. Rawatan kanak-kanak di bawah satu tahun dan suntikan imunisasi diberikan secara percuma. Begitu juga rawatan kepada pelajar, golongan kurang upaya, pesara dan anggota perkhidmatan awam serta pasukan beruniform diberikan secara percuma manakala bagi warganegara yang lain dikenakan bayaran paling minimum seperti berikut :





o Bayaran minimum yang dikenakan bagi kemasukan ke wad adalah seperti di Jadual 6.



o Caj yang dikenakan oleh klinik dan hospital Kerajaan adalah jauh lebih murah jika dibanding dengan caj yang dikenakan oleh klinik, hospital dan pusat perubatan swasta seperti di Jadual 7 dan 8.





• Perumahan

o Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), Kerajaan berhasrat untuk membina sebanyak 24,757 unit rumah kos rendah untuk golongan berpendapatan rendah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR). Sehingga kini, unit rumah yang dibina di bawah PPR adalah sebanyak 14,351 unit di seluruh negara.

o Dalam tempoh RMKe-9, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah membina sebanyak 58,245 unit rumah kos rendah dan kos sederhana rendah di kawasan bandar dan subbandar. SPNB juga membina sebanyak 166 unit rumah di Kedah dan 658 unit rumah di Pulau Pinang untuk penempatan semula mangsa Tsunami.


• Tenaga elektrik

o Kadar sebenar tarif elektrik yang dibekalkan kepada pengguna adalah pada kadar yang telah disubsidi. Ini kerana gas asli yang dijual oleh PETRONAS untuk penjanaan tenaga elektrik hanyalah RM6.40 setiap mmbtu berbanding harga pasaran RM40.53 setiap mmbtu. Ini bererti bagi setiap unit mmbtu gas asli yang dijual, PETRONAS menanggung subsidi sebanyak RM34.13.

o Dalam menyediakan bekalan tenaga elektrik, Kerajaan sentiasa mengutamakan kebajikan golongan berpendapatan rendah iaitu dengan mengekalkan kadar tarif elektrik pada kadar21 sen kilowatt-jam bagi penggunaan tidak melebihi 200 kWj sebulan walaupun pelarasan tarif elektrik telah dibuat pada Jun 2006. Sebanyak 3.3 juta isi rumah di Semenanjungmengguna kurang dari 200 kWj sebulan pada masa ini.

o Setelah mengambil kira kadar tarif yang telah disubsidi, jumlah subsidi yang ditanggung untuk pengguna domestik ialah RM220 juta manakala lampu awam ialah RM90 juta bagi tahun 2007.

• Orang Asli

o Dalam tempoh RMKe-9, satu pelan pembangunan yang menyeluruh akan dilaksanakan bagi menangani kadar kemiskinan yang tinggi di kalangan masyarakat Orang Asli. Untuk itu, peruntukan sebanyak RM233.1 juta telah disediakan untuk membina rumah golongan miskin yang berpendapatan kurang daripada RM415 sebulan (termasuk Orang Asli), termasuk membaik pulih kira-kira 14,000 rumah usang. Selain itu, skim pembangunan tanah baru dan penempatan semula yang dilaksanakan telah memberi manfaat kepada 84,250 Orang Asli, iaitu kira-kira separuh daripada jumlah penduduk Orang Asli.



11. Jadi berapa jumlah subsidi dan bantuan Kerajaan kepada rakyat?


• Jumlah subsidi serta bantuan lain yang ditanggung oleh Kerajaan adalah besar seperti di Jadual 9.



RUMUSAN


• Kerajaan amat prihatin kepada masalah berkaitan kebajikan dan taraf hidup rakyat. Sehubungan ini, Kerajaan sentiasa berusaha bagi memastikan perbelanjaan hidup rakyat tidak terjejas berikutan dengan kenaikan harga produk petroleum dan barang-barang perlu di Malaysia.

• Namun begitu, jumlah subsidi dan bantuan kepada rakyat perlu dihadkan pada tahap yang munasabah agar perbelanjaan Kerajaan dapat dimanfaatkan secara lebih adil dan digunakan untuk pelbagai tujuan demi kebaikan rakyat secara keseluruhan. Perbelanjaan yang terlalu tinggi ke atas subsidi akan menjejaskan keperluan untuk perbelanjaan pembangunan ke arah meningkatkan taraf hidup rakyat dan negara.

• Subsidi dan bantuan lain yang diberikan oleh Kerajaan adalah untuk meringankan beban kewangan rakyat. Pada masa yang sama, rakyat sendiri perlu mengurus perbelanjaan mereka dengan bijak selaras dengan kemampuan masing-masing.

No comments: